Saturday 31 December 2016

The Pit : Prologue


Light Fortress ialah sebuah kota yang paling kaya di kerajaan Aimsdale. Terbentuk dengan unik dari gabungan lima bandar kecil yang wujud sejak zaman sebelum perang lagi, kelima-lima bandar ini bersatu membentuk sebuah kota yang dikenali sebagai Light Fortress. Jabatan perancangan bandar menyusun atur kawasan-kawasan mengikut keperluan sebuah bandar dalam bentuk membulat dan berlapis-lapis.

Lapisan pertama yang membentuk bulatan paling besar terdiri daripada pusat-pusat ekonomi dan membeli-belah, kilang-kilang, pelabuhan antarabangsa dan lapangan terbang yang merupakan pintu masuk utama ke bandar itu dan kem-kem ketenteraan. Lapisan paling luar ini dikenali sebagai Nova.

Lapisan kedua di sebelah dalam pula dikenali sebagai Antrapole ialah kawasan perumahan termasuk sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi, perpustakaan, hospital, taman hijau untuk beriadah dan pusat kajian dan pembelajaran.

Manakala lapisan ketiga yang lebih kecil dan terletak di kawasan bercerun yang lebih tinggi pula dijadikan pusat pemerintahan bandar, dewan mesyuarat dasar dan perundangan dan bangunan-bangunan kerajaan yang penting termasuk pusat ketenteraan bagi pasukan tentera berpangkat tinggi . Rumah-rumah rasmi pemerintah tertinggi kota itu seperti Gabenor dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan juga terletak di lapisan ini. Kawasan ini dikenali sebagai Mynervia.

Light Fortress ditadbir oleh sekumpulan ahli majlis mesyuarat kerajaan yang merupakan pewaris lima bandar kecil yang membentuk pakatan kota itu dan gabenor dilantik dari kalangan lima orang pewaris itu secara undian.


Beberapa bangunan kerajaan dibina di Nova dan Antrapole bagi memudahkan urusan rakyat dengan pihak kerajaan dari segi pendaftaran hakmilik tanah, bayaran cukai dan sebagainya. Ketiga-tiga lapisan ini dihubungkan dengan keretapi laju yang dikenali sebagai Pole bagi memudahkan urusan harian. Pole bawah tanah juga menghubungkan beberapa terminal dan tempat dalam sesuatu lapisan contohnya antara sesuatu kawasan perumahan dengan pusat-pusat pengajian. Penduduk di Light Fortress terdiri daripada golongan elit, kaya dan berpelajaran. Mereka akan dibekalkan dengan nombor pengenalan sejak dilahirkan dan dipakaikan sejenis peranti di jam tangan masing-masing yang bertindak sebagai alat pengenalan diri, alat untuk membeli-belah dan menaiki Pole.

Bukan mudah untuk penduduk-penduduk bandar lain hendak masuk ke situ, walaupun mereka juga ialah rakyat kerajaan Aimsdale kerana pihak kerajaan Light Fortress mempunyai dasar imigresen dan kemasukan yang amat ketat. Setiap kemasukan dan pekerja atau pelajar dari bandar-bandar lain akan didaftarkan dan dipantau dengan baik. Walaubagaimanapun sekali seseorang berada di Light Fortress, mereka pasti berbangga menjadi rakyat bandar itu.

Namun seperti bandar lain, Light Fortress masih mempunyai titik hitamnya. Hanya segelintir orang yang tahu di tengah-tengah kota itu terdapat lapisan keempat iaitu lapisan yang tanahnya lebih rendah daripada Mynervia seolah-olah membentuk sebuah lubang kawah yang besar di tengah-tengahnya. Lapisan keempat itu dikenali sebagai Pit iaitu penjara atau kawasan buangan bagi mereka-mereka yang digelar 'unfit' di bandar itu.

Monday 26 December 2016

Cerpen : Kadmia

"Kau percaya ada magik di dunia ni?" 

Aku menggeleng. 

"Kenapa?"

"Kalau magik betul-betul wujud, kenapa aku mesti mengharungi semua ni?"

*****

Dalam hujan, aku berdiri di tepi kubur bapaku dengan deraian air mata dan sedu-sedan yang tak tertahan. Hatiku menahan sebak melihat tanah-tanah dilemparkan ke atas keranda bapaku. Sempat aku mengangkat kepala memandang kesemua tetamu yang menziarahi upacara pengebumian bapaku ini, masing-masing berpakaian hitam dan berpayung gelap. Mereka hanya memandang ke arah kubur bapaku dan ke arahku, mungkin bersimpati dengan nasibku seorang anak yatim piatu yang malang. Ibuku pula telah meninggal sejak aku dilahirkan lagi.

Aku mengangkat wajah memandang tiga susuk tubuh yang berdiri berhadapan denganku yang turut mengalirkan air mata dengan raungan. Aku tahu raungan itu hanyalah lakonan. Mereka bertiga ialah ibu tiri dan dua orang kakak tiriku.

Bapa berkahwin dengan Tremaine, si janda muda beranak dua yang paling cantik di kampung kami dua tahun lalu. Aku sedar pandangan mata Tremaine terhadap bapaku setiap kali kami mengunjungi kedai buah-buahan miliknya dan pandangan mata itu bertukar menjadi senyuman sehingga akhirnya bapa membawa Tremaine dan dua orang anak perempuannya ke rumah kami.

"Ella, ini Tremaine. Dia akan menjadi ibu kamu mulai hari ini." Kata bapa sambil memeluk erat pinggang Marina. "Ini pula kakak-kakakmu, Anastasia dan Drizella. Baguslah, kamu akan punyai kawan di sini."

Aku cuba mengukir senyuman walaupun hatiku mula dirundung duka. Adakah bapa sudah melupakan ibu?

"Cik muda..." Tegur satu suara garau dari belakangku. Seorang lelaki berusia separuh abad menyentuh bahuku. "Dah tiba masa untuk pulang. Majlis dah selesai." Kata Smith, butler yang berkhidmat dirumahku sejak aku belum lahir lagi. Satu-satunya kawan rapatku di rumah.

Aku mengangguk. Dari jauh kulihat Tremaine, Anastasia dan Drizella sudah menaiki kereta kuda yang mula berlalu tanpa menungguku. Smith mengeluh. "Saya akan menghantar cik muda pulang." Katanya lalu memayungku dan menarik lenganku supaya aku berjalan disampingnya.

***
Hari ini sudah genap setahun pemergian bapaku. Aku bangkit dari katil usangku yang keras, lalu terus menolak jendela di loteng rumah yang kini menjadi bilikku. Tremaine mengarahku bertukar bilik dengan Anastasia pada mulanya dan tidak lama kemudian, mereka mula mengusirku ke loteng dengan alasan bilik itu akan digunakan sebagai bilik untuk melukis. Smith yang membantuku mengemas loteng itu dan menyediakan katil kecil dengan tilam yang keras dan bantal yang tidak empuk.

Aku memandang kebun bunga di luar rumah kami dan tersenyum. Masih terbayang bapa yang duduk di kerusi di taman sambil menghayati tehnya pada waktu pagi.

"ELLA!!" Dari jauh, kedengaran suara Anastasia menjerit-jerit memanggil namaku. "MANA SARAPAN?"

Aku tergesa-gesa turun dari loteng dan terus ke dapur lalu terus mendidihkan air dan menyediakan roti untuk sarapan. Selepas kematian bapa, Tremaine memecat kesemua orang gaji di rumahku dengan alasan hendak menjimatkan wang. Hanya Smith sahaja yang masih berkhidmat dengan kami sebagai pemandu kereta kuda dan pengawal keselamatan rumah.

"Lambat lagi ke? Kau ni pemalas tahu tak?" Jerit Anastasia lagi apabila kepalanya tersembul dari balik pintu dapur.

"Yelah, nak siap dah ni." Aku menjawab sambil mengetap bibir.

Anastasia merengus. Dia kembali ke ruang hadapan dan duduk bersama kakaknya. Aku membawa sarapan pagi ke ruang makan dan menghidangkan sarapan kepada tiga beranak itu yang kelihatan khusyuk membaca sepucuk surat.

"Kita dijemput ke, ibu?" Drizella bertanya ibunya dengan mata yang semakin membesar.

"Mestilah kita dijemput, sayang!" Tremaine tersenyum.

"Dijemput ke mana?" Aku menyoal.

Ketiga-tiga mereka memandang ke arahku serentak.

"Majlis tari-menari sempena hari jadi putera mahkota." Anastasia menjawab sambil tersengih-sengih. 

"Majlis tari-menari?" Aku menyoal. Ah, betul! Bapa pernah memberitahuku tentang majlis tari-menari di istana dan anak gadis di negara itu yang berusia 16 tahun ke atas akan dijemput ke istana untuk diperkenalkan kepada putera mahkota. Aku juga telah genap 16 tahun, sepatutnya aku juga dijemput.

"Bila majlis tu?" Aku menyoal.

"Dua minggu dari sekarang." Jawab Anastasia lagi, namun aku sedar Tremaine memandang ke arahku kurang senang.

"Bolehkah saya ikut, Lady Tremaine?" Aku menyoalnya. Selepas kematian bapa, dia tidak membenarkan aku memanggilnya panggilan 'ibu' lagi.

"Kau gila? Kau ingat putera mahkota tu akan pandang kau?" Drizella mencelah dengan sinis. "Lihatlah pakaian kau! Kau ingat kau boleh ke istana berpakaian macam ni?"

"Tapi aku bukannya nak jumpa putera tu. Aku cuma nak tengok majlis tari-menari tu sebab bapa pernah ceritakan dulu." Aku menjawab. "Lagipun... jemputan tu untuk semua gadis berusia 16 tahun ke atas. Aku juga sepatutnya dijemput," 

"Ibu... " kedua-dua adik beradik itu memandnag ke arah ibu mereka sambil memuncungkan bibir.

"Sudah pasti kau boleh ikut, Ella." Tremaine tersenyum. "Tapi... kau perlu ada pakaian yang sesuai untuk ke sana. Dan kau perlu selesaikan semua kerja rumah."

Aku mengangguk. "Baiklah. Kalau saya boleh selesaikan semuanya, saya akan pergi bersama ke majlis tu." Aku pantas beransur ke dapur walaupun telingaku mendengar suara bingit kakak-kakak tiriku itu mengadu pada ibu mereka dengan nada tidak puas hati.

Tengah hari itu aku mengikut mereka bertiga ke bandar untuk mencari pakaian ke majlis tari-menari. Tremaine mengeluarkan begitu banyak wang simpanan bapa untuk membeli pakaian baru walaupun aku rasakan wang itu sepatutnya digunakan untuk membeli keperluan harian. Seperti biasa, aku hanyalah memegang barang-barang mereka dan tidak sempat melihat baju untuk aku sendiri. Aku tidaklah mempunyai wang yang banyak, tapi mungkin cukup untuk membeli sehelai baju yang elok dipakai berbanding baju yang aku ada di rumah.

"Lady Tremaine, saya nak simpan barang-barang ni di kereta kuda dulu." Kataku termengah-mengah apabila terpaksa menjinjit begitu banyak barang. 

Dia mengangguk. "Cepat balik ke sini!"

Aku bergegas ke arah kereta kuda di seberang jalan namun tanpa semena-mena, tanganku ditarik membuatkan badanku terdorong ke depan dan kesemua barang-barang yang dibeli tadi terjatuh ke jalan. Pada masa itu juga sebuah kereta kuda bergerak laju di belakangku. Jika orang itu tidak menarik tanganku, pasti aku akan dilanggar. 

Aku mengangkat kepala lalu terpandang seorang gadis yang kelihatan seusia denganku berdiri di hadapanku dengan wajah yang berkerut. "Kau tak apa-apa?" Dia bertanya. "Maaf, aku terpaksa tarik kau sebab kereta kuda tadi hampir nak langgar kau." Dia tunduk ke jalan membantuku mengutip barang-barang yang jatuh.

"Aku okay. Terima kasih." Aku membalas, tidak jadi hendak naik angin kerana gadis ini telah menyelamatkanku. Namun seketika kemudian mataku terpandang ke arah kesan koyakan di gown berwarna pink milik Anastasia. "Alamak...!"

"Kenapa?" Gadis tadi bertanya. "Kau cedera?"

Aku menggeleng. "Gown ni terkoyak." Kataku lalu menunjukkan kesan koyakan itu kepada gadis tadi. 

Gadis itu bangkit setelah mengumpulkan semua barang yang jatuh tadi. Dia kemudian merampas kotak berisi gown pink yang terkoyak itu. "Ikut aku!" Katanya lalu berjalan laju meninggalkanku yang kebingungan.

"Kau nak ke mana?" Aku melaung risau jika gadis itu berniat hendak mencuri gown itu dan barang-barang lain yang ada bersamanya. Namun aku melangkah dan terus mengekorinya sehingga tiba di sebuah kedai kecil di hujung jalan yang agak tersorok dari pandangan orang ramai. Gadis itu masuk ke dalam kedai itu dan aku mengikutnya.

"Ini kedai apa?" Aku bertanya.

"Ini kedai aku. Kedai jahitan." Gadis itu menjawab lalu meletakkan barang-barang di atas sebuah meja dengan tertib. Kedai itu sebenarnya ialah sebuah kedai menjahit baju kecil-kecilan. "Biar aku tolong kau jahit semula baju ni."

"Kau pandai jahit baju?" Aku menyoal.

Gadis itu mula tersenyum lalu mencapai kotak peralatan menjahit dan mula memasukkan benang ke dalam sebatang jarum. Dia mengeluarkan gown berwarna pink itu dan dahinya berkerut melihat corak baju itu yang kelihatan berbunga-bunga lalu matanya mula mengerling ke arahku.

"Kau suka baju corak bunga besar macam ni? Kau nak pakai baju ni ke majlis tari-menari ke?' Dia menyoal. 

Aku menggeleng. "Itu gown kakak tiriku. Dia pasti akan bunuh aku kalau dia tahu gown dia terkoyak."

"Jangan risau! Aku akan tolong jahit elok-elok, dia takkan perasan gown ni dah terkoyak."

Aku mengambil tempat di hadapannya dan mataku fokus merenung gadis di hadapanku menjahit semula koyak di gown Anastasia. Jari-jemarinya panjang dan lincah sekali bermain-main di atas fabrik pink itu. Rambutnya yang panjang itu terurai di bahunya dan sekali-sekala dia menguis rambut di dahinya supaya tidak jatuh ke hadapan mukanya. 

"Siapa nama kau?" Aku menyoal rasa ingin tahu.

Dia mengangkat kepala dan memandang ke arahku sebelum menjawab dengan ringkas. "Kadmia. Kau pula?'

"Ella." 

Dia memutuskan benang dan meletakkan jarumnya di atas meja. "Selesai! Kau tak perlu risau kakak tiri kau bunuh kau lagi." 

Aku tersenyum melihat gown yang kelihatan sempurna itu. "Terima kasih." 

Kadmia membalas senyumanku dan kami bertentang mata untuk beberapa saat. 

"Aku kena cari mereka sekarang." Kataku sebaik sahaja teringatkan Tremaine dan anak-anaknya yang mungkin tertanya-tanya kenapa aku masih tidak kembali setelah begitu lama.

"Okay. Kalau senang, datanglah sini lagi." Kadmia menjemput.

"Kalau aku datang, kau boleh ajar aku menjahit?" Aku bertanya sambil tersengih. 

Kadmia kelihatan seperti berfikir sejenak sebelum dia mengangguk. "Boleh! Datanglah."

Aku berlalu meninggalkan Kadmia sambil kepalaku masih memikirkan senyuman dan kata-katanya. Dia mengajak aku ke kedainya? Dia mahu bertemu dengan aku lagi?

"MANA KAU PERGI?" Drizella menengking mematikan lamunanku. Kelihatan ketiga-tiga beranak itu sedang bercekak pinggang di hadapan kereta kuda kami dengan muka yang marah.

"Kalau tak ingat barang-barang kami ada dengan kau, memang kami dah balik tinggalkan kau! Padan muka kau berjalan balik sendiri." Anastasia menyambung.

"Maaf, aku terlupa di mana kereta kuda kita." Aku menipu dengan wajah yang selamba lalu terus memanjat kereta kuda dan menyusun barang-barang yang dibeli dengan tertib.

Sebaik sahaja tiba di rumah, kedua-dua kakak tiriku itu  mencuba-cuba pakaian yang baru dibeli dan aku mengeluh lega kerana Anastasia sedikitpun tidak perasan kesan koyak yang dijahit semula oleh Kadmia tadi.

Keesokan harinya, kami ke bandar lagi kerana Drizella tidak muat apabila mencuba gown hijau yang dibelinya semalam. Aku pula mengambil kesempatan mengunjungi kedai jahit Kadmia lagi dan memberi alasan yang aku hendak membeli susu dan telur.

"Hai." Aku menegur apabila melihat Kadmia sedang gigih menjahit sehelai gown berwarna kuning muda. Dia mengangkat kepalanya dan matanya membesar apabila melihat aku di pintu kedainya.

"Ella, kau datang!" Dia tersenyum lalu melambai-lambai ke arahku.

Aku mengambil tempat di hadapannya dan seperti yang dijanjikan, dia mengajarku cara menjahit pakaian. Aku tidak pernah belajar menjahit sebelum ini kerana bapa sangat memanjakan aku sebelum dia berkahwin dengan Tremaine. Selepas kematiannya, Tremaine sengaja memecat semua orang gaji dan memaksaku membuat semua kerja rumah dengan alasan untuk menjimatkan wang. Sedangkan dia dan anak-anaknya hanya duduk bersenang-lenang di rumah itu walaupun rumah itu sebenarnya ialah rumahku.

Aku memberikan alamat rumahku kepada Kadmia yang berjanji akan mengunjungiku apabila ada masa terluang. Aku menyuruhnya datang di antara waktu makan tengah hari ke makan malam kerana pada waktu itu, ketiga-tiga beranak itu jarang memerlukan khidmatku.

Kadmia muncul di pagar belakang rumahku sambil tersenyum, lalu aku bergegas menyelinap keluar melalui pintu belakang. Kami berjalan ke sebatang anak sungai tidak jauh dari belakang rumahku dan duduk di atas rumput sambil berbual-bual mesra seperti kenalan lama.

"Besarnya rumah kau." Kadmia memuji sambil emmandnag rumah agamku dari jauh.

"Biasa-biasa saja." Jawabku berbasa-basi. "Apa gunanya rumah yang besar kalau aku dilayan seperti orang gaji di rumah sendiri."

Kadmia memandangku menanti aku meneruskan cerita. Tanpa dipaksa, aku menceritakan kisah hidupku kepada Kadmia yang hanya mendengar tanpa mencelah sepatah kata. Aku menceritakan detik keluarga Lady Tremaine dan dua orang anak perempuannya yang masuk ke dalam dunia aku dan bapa, bagaimana aku sedar betapa berpura-puranya mereka apabila berada di hadapan bapaku, bagaimana berbezanya layanan mereka terhadap aku apabila bapa tiada terutamanya selepas kematian bapa.

"Kau percaya ada magik di dunia ni?" Dia bertanya sebaik sahaja aku menoktahkan ceritaku.

Aku menggeleng. 

"Kenapa?"

"Kalau magik betul-betul wujud, kenapa aku mesti mengharungi semua ni?" Aku bersuara dengan nada tidak puas hati. "Kenapa mereka memperlakukan aku sebegini?"

Kadmia tersenyum. "Kau percaya atau tak kalau aku katakan yang kau adalah magik untuk aku?" 

Aku memandangnya tidak mengerti.

"Aku tidak punyai kawan. Hanya kau yang singgah ke kedai aku dan bertanyakan namaku. Hanya kau yang sudi berbual dengan aku dan belajar menjahit dari aku. Kedai aku cuma kedai yang kecil, hasil peninggalan nenekku yang dah tua. Sekarang ni, tak ada sesiapa mahu mengunjungi kedai kecil aku lagi sebab dah banyak kedai-kedai pakaian yang cantik di bandar." Jawab Kadmia. 

Aku tersenyum. 

Kadmia kini sering berkunjung di rumahku apabila aku tidak ke bandar. Selalunya, Smith akan membawaku ke bandar untuk membeli keperluan harian dan aku sering mengambil kesempatan bertemu dengan kawan baruku itu di kedainya ataupun kami akan berjalan-jalan di sekitar bandar. Smith berjanji akan merahsiakan pertemuan aku dan Kadmia dan kini dia bagaikan teman rahsiaku. Bersama dengan Kadmia membuatkan aku melupakan kesedihan di rumah dan sedikit sebanyak mengubat rinduku terhadap bapa kerana mempunyai teman baik untuk berbicara. Berkat dari ajaran Kadmia juga, aku membeli kain dan peralatan menjahit, lalu aku menjahit pakaianku sendiri untuk ke majlis tari-menari itu.

"Kau nak ke majlis tari-menari tu?" Kadmia menyoalku pada suatu hari apabila melihat aku khusyuk menjahit sehelai gown berwarna hijau muda. Aku membawa Kadmia naik ke loteng apabila ketiga-tiga beranak itu tidak ada di rumah.

Aku mengangguk. "Lady Tremaine benarkan aku ikut mereka ke sana kalau aku ada pakaian dan boleh selesaikan semua kerja rumah."

"Oh- kau nak menari dengan putera mahkota ke?" Kadmia menyoal. Kali ini wajahnya kelihatan sugul sedikit.

Aku menjungkit bahu. "Aku cuma teringin nak masuk ke majlis tari-menari di istana."

Kadmia mulai ketawa. "Kau cuma nak menari? Kau tak perlu pun ke majlis tari-menari tu kalau kau setakat nak menari." 

Aku memandangnya. "Macam mana aku nak menari kalau tak ada pasangan? Di majlis tu nanti, mesti akan ada lelaki yang akan ajak aku menari, bukan?"

"Siapa kata kau tak ada pasangan?" Kadmia menyoal lalu dia menghulurkan tangannya ke arahku. Lambat-lambat aku menyambut tangannya dan dia terus menarik aku rapat ke badannya. Gown hijau muda itu terlepas dari tanganku dan terjatuh di lantai. Tangan kiri Kadmia diletakkan di pinggangku dan secara spontan aku meletakkan tangan kananku di bahunya. Dia mula bergerak-gerak dan aku turut bergerak mengikut pergerakan badannya. Pergerakan badan kami bergerak seirama walaupun pada masa itu tidak ada alunan muzik di loteng kecil itu.

Jantungku berdetak pantas dan wajahku sedikit merah apabila merasakan degupan jantung Kadmia juga sama kuat sepertiku. Badannya begitu hangat membuatkan aku terkenangkan pelukan bapaku pada suatu ketika dulu.

"Persediaan untuk kau bila ada lelaki ajak kau menari di majlis tu nanti." Bisik Kadmia di telingaku sebelum dia melepaskan pelukannya dari tubuhku. Pada masa itu, aku tidak tahu kenapa aku mula merasakan yang majlis tari-menari itu tidak bermakna jika tidak ada Kadmia.

***
Tremaine memanggil aku ke biliknya pada suatu malam, sehari sebelum majlis tari menari itu berlangsung. Dia mahu aku menyisir rambutnya sebelum tidur. "Ella, kau dah bersedia nak ke majlis tari-menari tu?" Dia menyoal sambil matanya tajam menatap mukaku di cermin.

Aku mengangguk lambat-lambat. "Saya dah ada pakaian dan saya janji akan siapkan semua kerja sebelum kita bertolak.

"Kau dah ada pakaian? Aku harap kau tak curi mana-mana pakaian dari almari Drizella dan Anastasia."

Aku segera menggelengkan kepala. "Saya takkan mencuri dari sesiapa. Saya jahit gown saya sendiri."

"Oh - kau jahit sendiri?" Tremaine mengangkat kening. Dia kemudian bangkit dari kerusi dan berjalan ke tengah bilik sebelum memanggil nama kedua-dua anaknya yang rupa-rupanya sedang memasang telinga dari luar.

Tremaine berpusing memandangku sambil tersenyum. "Kalau begitu apa kata kita semua naik tengok gown yang kau jahit ni." Katanya membuatkan aku berasa tidak senang hati. Tanpa berlengah ketiga-tiga mereka berjalan menuju ke tangga menuju ke loteng dan memanjat naik ke bilikku itu. Terbeliak biji mata Anastasia dan Drizella memandang gownku yang siap tergantung di tepi dinding yang terbuai-buai dek tiupan angin.

"Dari mana kau dapat duit beli kain dan benang?" Anastasia menyoal sambil tangannya bermain-main dengan kain gown ku itu.

"Aku ada duit simpanan yang bapa pernah beri padaku..." Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, aku merasakan tangan kanan Tremaine melayang naik ke pipiku.

"Kenapa kau tak pernah beritahu kami yang kau ada simpanan wang bapa kau?" Tremaine menyoal. "Kau tahu yang kita perlukan duit untuk rumah dan bukannya untuk kau beli barang-barang untuk jahit gown yang... buruk ni! Kau ni memang budak tak sedar diri! Aku bela kau lepas bapa kau mati, kau patut ingat sikit."

Aku menekan pipiku yang mulai kemerahan itu. "Tapi itu duit saya..." Sekali lagi tamparan Tremaine hinggap di pipiku.

"Anak-anak, kamu tahu apa yang kamu patut buat!" Tremaine berkata lalu tanpa berlengah kedua-dua Anastasia dan Drizella mencapai gown itu dan mengoyakkan kain dan jahitannya.

"Jangan!" Air mata mula merembes ke pipi apabila melihat mereka mengoyakkan gown itu. Satu-satunya peluang untuk aku ke majlis tari-menari diraja. "Jangan!"

Mataku menangkap senyuman puas dari bibir Tremaine membuatkan darahku mendidih. "Kamu semua juga dah gunakan duit bapa untuk beli keperluan sendiri. Kamu ingat rumah ni kamu yang punya, tapi kamu salah! Semua ni harta bapa saya dan kamu semua yang tak sedar diri!" Entah dari mana datang khudrat aku menjerit seperti orang gila. Mungkin setelah lama aku memendam perasaan, akhirnya kemarahan itu meledak seperti gunung berapi.

Kali ini aku tidak tunggu lama sebaliknya menarik lengan Anastasia sehingga dia menjerit-jerit. Drizella pula terus menarik rambutku dan Anastasia mengambil peluang menampar pipiku untuk kali yang ketiga. Aku membalas serangan Drizella dengan menarik rambutnya sekaligus menarik rambut Anastasia dan dengan sekuat hati menghantukkan kepala mereka di antara satu sama lain.

"Ibu!!" Kedua-dua beradik itu menjerit memanggil ibu mereka meminta pertolongan dan Tremaine memandang aku sambil mengetap bibir dengan geram. Biar dia tahu yang aku juga boleh mengganas.

"Kadmia." Bibir Tremaine menuturkan nama kawan baikku itu membuatkan aku segera melepaskan rambut Anastasia dan Drizella. Aku memandang ke arah ibu tiriku itu yang kini sudah mula tersenyum.

"Kau ingat aku tak tahu tentang kawan baru kau ajar kau menjahit tu? Kau ingat aku tak tahu kau selalu ke bandar sebab nak berjumpa dengan dia? Kau ingat aku tak tahu dia selalu datang ke sini?" Tremaine berkata dengan suara yang tinggi.

Wajahku menjadi pucat.

"Aku tahu semua yang berlaku di rumah aku, Ella. Dan aku dah pecat dan halau butler kesayangan kau tu sebab dia berani engkar dengan arahan aku."

Smith!

"Aku boleh buat apa saja untuk hancurkan kawan kau termasuklah kedai kecil dia tu."

Aku terduduk di lantai. Kini fikiranku terlupa tentang gown hijau mudaku sebaliknya terbayang wajah Kadmia yang sedang tersenyum. Terbayang yang dia pernah memberitahuku impiannya untuk menjadi seorang tukang jahit terkemuka dan membuka kedai yang lebih besar di bandar.

"Jangan apa-apakan Kadmia.. tolonglah.." Aku merayu. "Lady Tremaine boleh buat apa saja pada saya, tapi tolong jangan ganggu Kadmia. Saya takkan pergi ke majlis tari-menari tu. Saya janji akan buat kerja lebih banyak dari dulu."

Anastasia dan Drizella tergelak. "Kalau kau nak tahu, ibu dah hantar orang untuk bakar kedai jahit buruk kawan kau tu."

"Apa?" Jantungku berdegup kencang dan air mata semakin laju turun di pipi. "Kenapa? Kenapa buat begitu?"

"Sebab kami bencikan kau dan bapa kau!" Anastasia berkata.

"Kau ingat aku kahwin dengan bapa kau sebab aku cintakan dia? Aku cuma mahukan harta dia supaya aku dan anak-anak aku hidup mewah. Aku biar kau tinggal di rumah ni untuk jadikan kau orang gaji kami!"

Ketiga-tiga beranak itu berjalan keluar dari loteng dan Tremaine mengunci pintu loteng dari luar sambil ketawa puas.

Aku terduduk di lantai terkenangkan Kadmia. Hatiku merintih supaya Kadmia akan selamat dari kekejaman ibu tiriku itu. Tak kusangka dia tahu yang aku bertemu Kadmia senyap-senyap. Malah dia sanggup memecat Smith juga,

"Kau adalah magik untuk aku."

Suara Kadmia terngiang di telingaku membuatkan aku segera bangkit. Aku tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi padanya. Tanpa berlengah aku membuka tingkap loteng dan menjenguk ke luar tingkap yang agak tinggi itu. Aku mencapai perca-perca kain gown di atas lantai dan menyambungnya dengan kain selimutku menjadi seperti seutas tali yang panjang. Aku mengikat hujung tali itu di bucu katil dengan kemas dan melemparkan tali keluar tingkap. Aku berdoa di dalam hati supaya tali itu kuat lalu memanjat turun dari tingkap loteng dengan hati-hati.

Sebaik sahaja kakiku mencecah tanah, aku segera berlari ke pintu pagar belakang rumah. Hatiku bersorak girang melihat Smith sedang berdiri di sebelah seekor kuda coklat di luar pagar.

"Smith!"

"Cik muda tak apa-apa? Saya tak sanggup tinggalkan cik seorang diri di rumah ni, saya nak larikan cik dengan kuda ni."Katanya membuatkan aku mahu memeluk lelaki tua itu.

"Saya perlu selamatkan Kadmia. Lady Tremaine upah orang bakar kedainya di bandar. Tunggu saya di sini." Kataku lalu tanpa berlengah aku melompat naik ke atas belakang kuda itu dan memecut laju meredah kegelapan malam menuju ke kedai kecil milik Kadmia.

Ternyata aku sudah terlambat kerana kedai itu sudah marak dijilat api. Beberapa orang lelaki cuba memadamkan kebakaran itu dengan baldi air namun gagal kerana api terlalu marak.

"Kadmia!" Aku menjerit memanggil namanya. Hatiku mulai risau kerana dia tidak ada di luar kedai. Bagaimana jika dia terperangkap di dalam kedai? Aku bernekad melangkah laju ke arah kedai itu kerana mahu menyelamatkan Kadmia. Aku tidak sanggup kehilangan satu-satunya kawan karibku itu namun belum sempat aku melangkah masuk ke dalam api itu, tanganku direntap seseorang.

"Kau dah gila ke? Kenapa kau nak masuk dalam api?" Kadmia menjerit dan secara spontan aku terus mendakap tubuhnya.

"Aku ingatkan kau ada di dalam sana." Aku mulai menangis teresak-esak. "Aku tak sanggup kehilangan kau. Oh Kadmia, maafkan aku. Lady Tremaine yang upah orang untuk bakar kedai kau. Dia tahu aku berkawan dengan kau. Maafkan aku!"

Aku terdengar Kadmia mengeluh. Pada mulanya aku sangkakan dia akan menolakku, sebaliknya dia membalas pelukanku dan tangannya mengusap belakang dan kepalaku seperti aku seorang anak kecil.

"Kita pergi jauh dari sini." Kata Kadmia. "Kita pergi jauh dari ibu tiri kau dan kita tinggal bersama. Kita akan buka kedai menjahit yang lebih besar di tempat lain dan bina hidup baru di sana."

Aku memandang wajah Kadmia.

"Apa yang berlaku dah ditentukan. Biar tuhan saja membalas kekejaman mereka."

Aku mengangguk. Mungkin inilah apa yang aku mahukan sejak dulu lagi. Bebas dari cengkaman ibu tiriku.

"Sebenarnya aku memang nak tinggalkan bandar ni sejak dulu lagi." Kadmia menyambung.

"Ye ke? Kenapa kau masih ada di sini?" Aku menyoal.

Kadmia tersenyum. "Mungkin sebab aku tak mahu tinggalkan kau juga, Ella." Katanya membuatkan pipiku merona merah.

***

Aku dan Kadmia bersama-sama Smith telah meninggalkan bandar kami dan menetap di sebuah bandar lain yang lebih kecil dan nyaman. Kami menetap bersama di sebuah rumah kecil di pinggir bandar. Kadmia mula menjahit kecil-kecilan di rumah kami sebelum mengembangkan kerjayanya. Selain menjahit, aku juga berjinak-jinak dengan pembuatan kek dan biskut. Aku juga dengar yang Lady Tremaine telah dipenjarakan kerana lelaki-lelaki yang diupahnya telah ditangkap oleh pihak berkuasa dan mereka yang memberitahu tentang kebakaran itu. Anastasia dan Drizella juga telah dihalau keluar dari bandar itu diatas perbuatan ibu mereka. 

Aku kini gembira. Jika aku adalah magik untuk Kadmia, maka Kadmia juga adalah magik untuk aku. Mungkin ini adalah pengakhiran happily ever after untuk kami.

-tamat-