Monday 2 January 2017

The Pit : 2


Kali ini mereka tidak dapat mengelak lagi. Joseph berdiri di sebelah Alex yang telah sedar dari pitam beberapa minit lalu sambil bercekak pinggang. Baru sebentar tadi berlaku kekecohan di konsert itu apabila Alex tiba-tiba saja menjerit seperti orang yang terkena histeria dan mula berlari tanpa arah tujuan melanggar pengunjung-pengunjung lain sehingga menimbulkan kemarahan mereka. Nick terus berlari menyelit di kalangan orang ramai mencari gadis itu dan dia sampai tepat pada masanya apabila Alex rebah ke lantai. Nick meluru ke arahnya dan meminta bantuan beberapa orang mengangkat Alex ke tempat yang lebih lapang di belakang dewan. Dia memanggil nama Alex berkali-kali dan menampar pipinya perlahan-lahan. Setelah yakin gadis itu tidak membuka mata, rasa panik menyelubungi hatinya. Dia terus menekan jam tangannya yang juga bertindak seperti alat untuk berkomunikasi dan mula membuat panggilan kepada Joseph, ketua bodyguard Alex. Dia sedar dia tidak boleh mengangkat gadis itu untuk pulang ke rumahnya di Mynervia sendirian.

"Apa yang berlaku?" Alex menyoal sambil menekan kepalanya yang masih terasa berdenyut-denyut. Sebaik sahaja Joseph dan beberapa lelaki lain tiba di situ, Alex mula membuka matanya.

"Itulah aku nak tanya kau. Tiba-tiba saja kau berari dan menjerit macam orang gila. Aku betul-betul risau sesuatu terjadi pada kau." Nick membalas sambil menghulurkan sebotol air mineral kepada Alex.

"Aku dengar suara perempuan tu lagi, Nick. Suara perempuan yang panggil namaku dalam mimpi."

"Tapi kau bukannya sedang tidur. Macam mana kau boleh bermimpi?"

Alex menggeleng. "Kali ni bukannya macam mimpi. Kali ni, aku lebih rasa seperti dia berada dekat dengan aku. Dia juga sentuh aku." Perlahan-lahan Alex menyentuh pipinya teringatkan gadis misteri berambut hitam tadi yang membelai pipinya. "Dia suruh aku cari dia di The Pit."

Nick mula mengeluh. "Kau ni dah kena sampuk hantu agaknya."

"Cik muda!" Joseph mencelah lalu mereka berdua terus memandnag bodyguard bersut hitam itu. "Kita balik sekarang dengan kereta. Saya akan singgah hantar Tuan Nick di kediamannya dulu."

Alex tahu dia terpaksa bersetuju kerana dia sendiri tidak dapat ebrjalan dengan baik. Lagipun, kehadiran lelaki bersut hitam semakin menarik perhatian orang ramai dan dia perlu keluar cepat dari situ sebelum identitinya terdedah.

Sebaik sampai di rumah dia melihat Gabenor Anthony berdiri di depan pintu dengan wajah yang garang. "Papa kecewa dengan kamu. Papa dah pesan jangan ke mana-mana seorang diri dan biar bodyguard kamu ikut sekali."

"Tapi Nick ada bersama saya. Lagipun, saya teringin nak berjalan-jalan di Nova." Alex membantah. 

"Masuk bilik kamu sekarang dan bersihkan diri. Lepas tu pergi tidur!" Ayahnya mengarah dengan suara yang tegas.

Alex mengangguk dengan hati yang masih berat namun seketika kemudian dia kembali memandang ayahnya. "Papa tahu bagaimana cara nak ke Pit?" Dia menyoal.

Ayahnya memandangnya dengan hairan. "Kenapa kau tanya? Kau pun tahu tempat tu untuk golongan unfit. Mereka tu berbahaya untuk kita semua."

"Berbahaya..?" Alex berkata perlahan terfikirkan gadis yang dilihatnya tadi. Jika gadis itu menyuruhnya mencarinya di The Pit, pastilah dia seorang unfit. Tapi, adakah dia seorang yang berbahaya?

"Kenapa Alex?" Gabenor Anthony bertanya lagi. Alex menggeleng sebelum meminta diri untuk beransur ke biliknya.

Alex tertidur di atas katil dan kali ini seperti biasa gadis berambut panjang itu muncul lagi di dalam mimpinya. Kali ini wajah dan suaranya lebih jelas dari selalu. 

"Kenapa kau selalu muncul depan aku? Kau ni siapa sebenarnya?" Kali ini Alex bertanya. Dia tidak akan berganjak selagi belum mendapat jawapan.

"Nama aku Kara. Aku tinggal di tempat yang dinamakan The Pit." Gadis itu menjawab dengan suara yang serius.

"Kenapa kau muncul dalam mimpi aku? Kau ni betul-betul manusia ke?"

Kara tersenyum. "Kalau aku bukan manusia, kau ingat aku ni apa?"

"Hantu yang selalu ganggu aku masa tidur." Jawab Alex dengan jujur.

Kara tertawa kecil. Suaranya kedengaran lunak di telinga Alex dan dia sedar yang gadis misteri itu mempunyai senyuman yang amat menawan. "Aku manusia sama macam kau dan aku punyai kelebihan yang tak ada pada kebanyakan manusia lain."

"Kelebihan masuk dalam mimpi orang lain?" Alex menyoal smabil mengangkat kening.

"Aku ialah seorang dream manipulator. Aku berkebolehan untuk mengawal dan mencorakkan mimpiku sendiri dan mimpi orang lain."

Rahang Alex terbuka dengan rasa tidak percaya.

Selepas melihat kekeliruan gadis itu, Kara mula mengangkat tangan kanannya dan menghayunkan ke udara dan sejenak selepas itu muncul sesuatu yang amat besar dari udara. Lembaga itu kelihatan besar dan bergerak menghampiri mereka dengan kelajuan yang menakjubkan.

"Apa benda tu?" Alex menyoal dengan rasa takut. Matanya terbuka luas apabila melihat seekor naga berwarna hijau lumut berbentuk seperti seekor cicak gergasi dengan dua pasang sayap yang amat besar sedang meluncur laju ke arah mereka. Dia menjerit sekuat hati dan secara spontan tangannya membentuk pelindung di kepala apabila naga itu membuka mulutnya dan terbang menghampiri mereka. Namun belum sempat naga itu menelan mereka berdua, ia hilang dalam kepulan asap seolah-olah tidak pernah wujud.

"Mana benda tu pergi?" Alex menyoal dengan hati yang masih berdegup kencang.

Kara tersenyum. "Itulah kelebihanku. Aku boleh mengawal perjalanan mimpi kau dengan senang."

Alex terangguk-angguk. "Tapi semua ni cuma mimpi kan? Naga tadi takkan boleh mencederakan aku." 

Kara merenungnya sebelum melangkah menghampirinya perlahan-lahan. Dia berdiri betul-betul dekat dengan Alex dan Alex sedar yang gadis itu lebih rendah daripadanya. Alex terpaku kerana iris mata Kara kelihatan sangat hitam sama seperti warna rambutnya. Kara mengangkat tangannya dan kali ini mula menyentuh pipi Alex sekali lagi seperti di konsert tadi. Dia kemudian berjengket sedikit dan mengucup dahi Alex perlahan-lahan.

"Apa kau buat ni?" Alex menyoal dengan muka yang merah. Dia berundur setapak ke belakang dengan wajah yang terasa hangat.

Kara tersenyum. "Kau boleh rasa sentuhan aku, bukan? Aku bukan setakat mimpi dalam minda separa sedar kau, Alex. Aku benar-benar wujud di hadapan kau."

"Apa kau nak sebenarnya? Kenapa kau masuk dalam mimpi aku? Aku tak kenal kau pun."

"Aku perlukan bantuan kau. Kau perlu cari aku di The Pit."

"Kenapa? Kalau kau berada di The Pit, kau pastilah golongan unfit. Kau penjenayah dan berbahaya kepada kami. Kenapa aku kena tolong kau. Lagipun bukan semua orang boleh masuk ke tempat tu." Alex bertanya. 

"Kau memang tak tahu apa-apa tentang The Pit, bukan?"

"Aku tahulah! Tempat tu ialah penjara untuk golongan unfit yang berbahaya kepada rakyat Light Fortress. Semua penjenayah akan dimasukkan ke the Pit supaya tak membahayakan kami semua."

"Kau memang percaya semua yang berada di sini ialah penjenayah? Kau patut baca lebih banyak buku sejarah, Alex." Kali ini suara Kara seakan-akan menyindir sehingga menimbulkan kemarahan Alex.

"Kau ingat aku bodoh? Aku tahulah asal-usul bandar aku!" Alex menengking.

Kara mengeluh berat. "Buka mata dan minda kau, Alex. Kau akan sedar yang banyak benda sebenarnya yang kau tak tahu tentang Light Fortress ni." Katanya lalu berpusing hendak meninggalkan Alex.

"Kenapa aku? Kenapa kau cari aku?" Alex menjerit.

Kara berpusing lalu menghadiahinya seulas senyuman sebelum berkata, "Sebab aku tertarik pada kau."

Sebaik kata itu dituturkan, Alex merasakan badannya semakin berat sebelum dia mula membuka mata dan tersedar yang dia sedang berada di atas katilnya sambil berpeluh-peluh. 

3 comments:

  1. Ok cancel, terui baca!

    Angah nak cakap one thing je "this girl try to sink my ship!" Lol jk jk (^__^)

    Can't wait for the next chapter!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. angahhhh mana new entry bloggg angah...ngeh ngeh ngeh nyibuk kat sini....
      huiksss makin interesting...gula madu smuaalaaa best best best..sambungggg lagiii cepat....
      ~ccc(,)(,) ^___^

      Delete
    2. oh my gawd! lololol Angah dah start menaip since my semester has ended! so, wait for a couple of days Love! titew segan tangat2 awak jumpe taye kat tini *suara gedik sikit* lol!

      Delete