Monday 9 January 2017

The Pit : 5


Tiga hari telah berlalu selepas kejadian di Great Library dan Alex masih berkurung di dalam biliknya. Setiap kali pintu biliknya diketuk, jantungnya berdebar-debar memikirkan pegawai-pegawai kerajaan akan datang dan mula memadamkan ingatannya tentang kejadian itu. Selama tiga hari itulah Auna membawa makanan naik ke biliknya. Mujur ayahnya sentiasa sibuk dengan kerja dan mereka hanya berbual sekali dalam sehari. Mungkin ayahnya sendiri tidak sedar perubahan dirinya itu. Kalau dulu dia mungkin marah jika ayahnya tidak mengambil tahu tapi kali ini dia lebih bersyukur. Siapa tahu ayahnya ialah orang yang mengarahkan supaya semua saksi dipadamkan ingatan mereka. Patutlah selama ni tak pernah ada laporan berita tentang kejadian ni. Yang paling teruk, mereka sanggup padamkan kewujudan mangsa yang mati dalam ingatan keluarga dan kenalan dia. Alex bermonolog sendiri.

Pada hari keempat, Alex mula duduk di atas katil memikirkan semula peristiwa yang berlaku itu. Sebagai anak Gabenor bandar, mungkin juga fikirannya tidak akan dipadamkan. Lagipun dia akan memegang kerusi ayahnya sebagai pewaris ahli majlis mesyuarat kerajaan dan mungkin juga dia akan diundi sebagai Gabenor juga. Fikirnya. Tapi apa-apa pun sekarang dia mula tahu yang Light Fortress dalam bahaya walaupun tiada sesiapa pun sedar akan bahaya itu. Dia kemudian mula menghubungi Nick yang kelihatan lega apabila melihat wajahnya di skrin hologram.

"Kau pergi mana sampai 3 hari tak angkat panggilan aku?" Nick menyoal.

"Aku nak kau datang ke rumah aku dan bawa barang-barang yang aku nak." Alex mengarah.

Sejam lebih kemudian, Nick duduk di kerusi di dalam bilik Alex sambil tersengih-sengih. "Kalau aku tak kenal kau rapat, aku mesti ingat kau sengaja nak berdua-duaan dengan aku dalam bilik kau ni."

"Kau bawa tak barang yang aku minta?" Alex menyoal tidak menghiraukan kata-kata Nick.

Nick mengangguk lalu menyerahkan sebuah beg kepadanya.

"Tak ada sesiapa tengok kandungan beg ni kan?" Alex menyoal lalu mula membuka beg itu.

"Tak ada. Jangan bimbang. Kau nak buat apa dengan benda-benda ni?" Nick mengangkat kening.

Alex terdiam seketika sebelum mula membuka mulut menceritakan kejadian di Great Library sehingga membuatkan Nick terlopong dan hampir terjatuh dari kerusi. "Organ dalaman meletup? Ingatan dipadamkan? Tapi... tapi kenapa? Kenapa mereka nak rahsiakan kejadian ni dari orang ramai?"

Alex mengangkat bahu. "Mungkin kerajaan tak nak rakyat panik. Tapi, agak-agaklah kalau nak berahsia pun. Ini bukan perkara kecil. Ini ialah kematian. Mungkin juga... pembunuhan."

"Pembunuhan?"

"Mungkinlah. Kalau tak, kenapa pihak tentera terlibat? Lagipun, tak mungkin organ dalaman manusia boleh meletup dalam sekelip mata." Jawab Alex.

"Mungkin wabak penyakit baru atau kuman dalam badan." Nick memberi pendapat.

"Kalau wabak penyakit, mesti mereka akan kuarantin Great Library. Humm.. entahlah, Nick. Tapi aku yakin Kerajaan kita sedang merahsiakan sesuatu. Aku takkan berdiam diri selagi aku tak tahu apa-apa."

Mata Nick mula tertumpu pada beg yang dipegang oleh Alex. "Sebab tu ke kau nak aku bawa barang-barang ni? Kau nak jadi Nancy Drew?"

Alex mengeluarkan beberapa bekas berbentuk silinder dan membuka bekas itu. Kelihatan beberapa peranti pepijat berbentuk bulat dan bersaiz kecil di dalam bekas silinder itu. Alex juga mengeluarkan tiga alat berbentuk telefon bimbit yang digunapakai oleh penduduk abad ke 21, sepasang kaca mata night vision dan sebuah komputer riba model lama.

"Sejak akhir-akhir ni aku perasan papa banyak bermesyuarat dalam Great Hall. Aku rasa mereka tengah bincnag tentang kejadian ni. Aku tak boleh masuk dalam Great Hall untuk dengar mesyuarat mereka tapi aku boleh pasang peranti ni supaya kita boleh dengar perbualan mereka dalam tu." Alex berkata.

Nick mengeluh. "Kalau aku tahu inilah rancangan kau, lebih baik aku tak bawa benda-benda ni ke sini. Kenapa kau tak biarkan saja dan nak menyiasat sendiri." Dia ialah seorang yang berbakat dalam bidang kejuruteraan kerana dia banyak belajar dari bapa saudaranya, Lord Orendale.

Alex menggeleng. Kata-kata Kara tempoh hari mula bermain di fikirannya. Dia mungkin tak boleh mempercayai Light Fortress sepenuhnya. "Aku cuma nak tahu kenapa mereka padamkan ingatan saksi. Selagi mereka percaya aku tak tahu tentang kejadian ni aku akan selamat. Jadi aku nak kau simpan rahsia ni."

Nick mengangguk dengan rasa runsing. Dia tahu dia tidak akan boleh mengubah fikiran gadis itu sekarang.

"Kenapa kau suruh aku sambung peranti pepijat aku ni dengan telefon bimbit dan laptop model lama? Aku boleh sambung dengan jam tangan kau saja, lebih mudah." Nick menyoal.

Alex menggeleng. "Aku rasa mereka boleh pantau semua aktiviti kita melalui jam tangan kita ni. Jadi aku tak nak mereka tahu yang aku nak dengar perbualan mereka."

"Okay, aku tak terfikir pula macam tu."

"Ada satu benda lagi aku nak minta tolong kau." Alex berkata.

"Apa?"

"Kau kenal Dianna?" Alex menyoal.

Nick kelihatan seperti sedang berfikir sejenak. "Anak perempuan Lord Hamington?"

Alex mengangguk tanpa senyum. "Aku nak kau dekati dia."

"Nak buat apa?" Nick terperanjat.

"Aku yakin Lord Hamington tahu lebih banyak benda tentang kejadian ni sebab anggota tentera dan unit risikan semuanya di abwah kawalan dia. Jadi aku nak minta tolong kau siasat apa yang anak dia atau dia sendiri tahu."

"Macam mana?" Nick menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

"Mana aku tahu. Kau kan bijak dalam bab-bab approach perempuan. Kau mesti boleh korek rahsia apa-apa."

"Lepas semua ni selesai, aku nak kau belanja aku makan yang sedap-sedap, Alex. Kau pun tahu aku tak berani dengan Lord Hamington yang garang macam singa tu."

Alex tersengih. "Jangan bimbang, aku belanja kau makan untuk sebulan."

Nick tersenyum. "Hati-hati, Alex!" Dia berpesan.

****
Alex mengenakan pakaian yang selesa pada malam itu dan menyimpan beberapa peranti pendengaran kecil rekaan Nick dalam poket seluarnya. Dia mengemaskan rambutnya dan berjalan keluar dari bilik menuju ke ruang makan. Dia tersenyum melihat ayahnya yang sedang duduk di kerusi dan terpancar rasa kepenatan dari anak mata lelaki itu.

"Papa.." Alex menegur dan mengambil tempat di sebelah ayahnya. "Dah lama kita tak makan sama-sama."

"Papa dengar dari Auna yang kamu berkurung lama dalam bilik. Kamu sihat tak?" Ayahnya menyoal dengan nada suara yang lembut.

Alex mengangguk. "Sihat papa. Cuma malam-malam penat main game." Dia menipu.

Ayahnya sekadar mengangguk. "Maafkan papa sebab tak luangkan banyak masa bersama kamu."

"Papa banyak bermesyuarat sejak akhir-akhir ni dengan Ahli Majlis semua. Ada apa-apa yang penting berlaku di bandar kita ke papa?" Dia menyoal memandang tepat ke anak mata ayahnya.

Gabenor Anthony mengukir senyum. "Tak ada apa-apa, cuma urusan pentadbiran. Kamu kena tahu sedikit sebanyak tentang pentadbiran kita, Alex. Kamu bakal menggantikan papa."

Alex tertunduk cuba menyembunyikan rasa tidak minatnya itu. Sejak kematian ibunya tiga tahun lalu, dia seperti tidak berminat lagi dengan urusan pentadbiran kerajaan. Entah kenapa, dia pun tidak tahu.

"Alex!" Ayahnya memanggil. "Kamu ada ke Great Library baru-baru ni?"

Darah Alex tersirap di muka dan jantungnya seakan-akan berhenti untuk seketika. Dia cuba mengawal rona di wajahnya supaya tidak berubah riak. Dia tahu yang Joseph sudah tentu telah memberitahu ayahnya. Jauh di sudut hati dia mahu melihat reaksi ayahnya jika dia tahu yang Alex memang menyaksikan semua yang berlaku. Adakah ayahnya sendiri sanggup memadamkan ingatannya seperti saksi-saksi yang lain juga?

Tetapi Alex hanya tersenyum. "Ya, saya pergi dengan Joseph sebab nak membaca. Tapi saya sakit perut sangat masa di sana, mungkin ada tersalah makan."

Gabenor Anthony mengangguk dan makan malam mula tiba di meja itu. Kedua-dua beranak itu mula makan dengan senyap.

"Papa," Alex memanggil sebaik sahaja mereka selesai makan malam. "Boleh saya minta sesuatu?"

"Apa dia?"

"Boleh papa luangkan masa bersama saya malam ni?" Alex bertanya.

Ayahnya tersenyum. "Papa tak ke mana-mana malam ni."

"Boleh papa bawa saya berjalan di sekitar Mynervia macam papa dan mama selalu bawa saya masa saya kecil dulu?"

Hati Alex melonjak girang apabila ayahnya mengangguk. Mereka mengambil kot masing-masing dan mula keluar dari rumah itu dan berjalan kaki menuju ke pintu utama bangunan pentadbiran. Alex lebih lega apabila ayahnya menolak untuk ditemani oleh bodyguard. "Saya nak temankan anak perempuan kesayangan saya ni." Gabenor Anthony menggosok-gosok kepala Alex dengan gembira.

"Papa masih ingat pada mama?" Alex menyoal. Dia memerhatikan raut wajah ayahnya kerana itulah topik yang menjadi taboo dalam perbualan mereka. Ayahnya seperti mengelak untuk bercakap tentang ibunya, Lady Katrina, mungkin kerana kesedihan masih berbekas di hatinya. Lady Katrina meninggal dunia tiga tahun lalu akibat barah payudara.

Gabenor Anthony mengangguk. "Mama kamu ialah wanita paling cantik yang pernah papa lihat. Kamu mewarisi kecantikannya."

Alex tersenyum.

"Papa terlalu sayangkan dia tapi..." Ayahnya tunduk menekur lantai.

"Tapi mama pergi meninggalkan kita dulu?" Alex menyambung disambut dengan anggukan kepala oleh Gabenor Anthony.

Malam itu mereka berjalan melalui laluan di bangunan utama dan masuk ke kawasan-kawasan pentadbiran lain seperti bangunan kehakiman dan perundangan, bangunan perakaunan dan hasil dan bangunan-bangunan lain.

"Boleh papa bawa saya ke Great Hall?" Akhirnya Alex melontarkan niat sebenarnya untuk bersiar-siar dengan ayahnya pada malam itu. Dia tahu yang dia tidak mempunyai akses rasmi untuk ke dewan persidangan itu tetapi jika ayahnya membawanya ke situ, ianya tidak menjadi kesalahan. "Saya teringin sangat nak tengok."

Gabenor Anthony mengalah lalu membawa anaknya masuk ke kawasan yang lebih dalam. Hanya mereka yang mempunyai kad akses khas boleh masuk ke situ. Pintu Great Hall kelihatan cantik dan gah disinari lampu dan akhirnya terbuka di hadapan mata Alex. Dia meluru masuk dengan rasa teruja.

"Inilah pertama kali saya masuk ke sini. Cantiknya!" Ucap Alex sambil mendongak melihat chandelier yang tinggi di siling. Dia berjalan ke sebuah kerusi yang paling besar yang dirasakan pasti tempat ayahnya. Alex melabuhkan punggung di kerusi itu dan tanpa disedari ayahnya, dia mengeluarkan peranti pepijat kecil yang dibawa oleh Nick tadi dari poketnya dan dilekatkan jauh di bawah meja.

"Ini tempat duduk papa dalam mesyuarat?" Alex menyoal perkara yang sudah diketahuinya dan ayahnya mengangguk.

"Kerusi tu akan jadi kerusi kamu suatu hari nanti." Lelaki itu menjawab.

Mata Alex memandang meja-meja di hadapan meja ayahnya. Dia perlu mencari jalan untuk melekatkan beberapa peranti pepijat dalam bilik itu supaya dapat menangkap perbualan mereka semasa mesyuarat. Malah, Alex juga telah melekatkan seberapa banyak yang boleh peranti pepijat yang dipasang kamera kecil di sepanjang laluan akses terhad di bangunan pentadbiran Mynervia. Dia kemudian bangkit dan berjalan menuju ke meja di sebelah kanan dan menyelitkan sebuah peranti di bawah meja. Alex tersenyum sendiri.

Gabenor Anthony menutup pintu Great Hall dengan rapat dan memandang anak perempuannya. "Kamu gembira? Papa tahu papa tak habiskan masa dengan kamu. Papa bukan ayah yang baik."

Alex cuba tersenyum. "Papa." Dia memanggil dan ayahnya memandangnya. "Boleh saya tengok the pit?"

Wajah Gabenor Anthony serta-merta berubah dan dia memandang tepat ke muka Alex. "Kenapa kamu nak tengok tempat tu? Kamu tahu the pit tu cuma sebuah penjara, kan?"

Alex mengangguk. "Saya tahu tapi.. saya cuma terfikir kalau satu hari nanti saya akan mewarisi tempat papa, bukankah sepatutnya saya tahu semuanya tentang Light Fortress?"

Gabenor Anthony terdiam sambil berfikir sejenak. Dia kemudian memegang bahu Alex sambil tersenyum tawar. "Pintu masuk the pit terletak di kawasan larangan dan kawasan paling dalam Mynervia. Kamu masih muda dan tak perlu tahu lagi tentang tempat tu, okay."

Alex masih cuba memancing perbualan dengan ayahnya tentang the pit. Tiba-tiba saja wajah Kara bermain di matanya. "Saya dapat satu mimpi tentang the pit."

"Mimpi?" Kali ini wajah ayahnya berubah riak terus dan senyuman terus mati di bibirnya.

"Saya mimpi ada seseorang dari the pit sedang berhubung dengan saya. Dia minta saya cari dia di sana."

"Kamu tahu nama dia?" Suara Gabenor Anthony semakin keras.

Wajah Kara semakin jelas di mata Alex. Entah kenapa dia tidak ingin memberitahu nama gadis itu kepada ayahnya. Entah kenapa dia mulai berasa risau terhadap gadis itu. Mungkin dengan memberitahu nama Kara akan menyebabkan gadis itu ditimpa malang.

Alex pantas menggelengkan kepala. "Tak tahu. Dia cuma suruh cari dia di the pit."

Gabenor Anthony terangguk-angguk. "Tak apa lah. Kita balik saja ke rumah. Hari pun dah lewat malam. Kamu balik dulu, papa nak ambil sesuatu di pejabat."

Alex menganguk. Dia mengucup pipi ayahnya sambil mengucapkan selamat malam sebelum berjalan ke arah laluan ke pintu utama bangunan. Namun dia berhenti di selekoh dan bersembunyi di sebalik dinding kerana dia sedar ayahnya sedang menghubungi seseorang.

"Esok kita adakan mesyuarat di Great Hall. Nampaknya Alex dah mula bermimpi tentang the pit." Kata Gabenor Anthony dengan suara yang serius.

4 comments:

  1. cerita dah menarik.. kena sabar untuk tahu apa itu unfit...

    ReplyDelete
  2. Yupp.... berharap papa alex jenis yang lembut hati, bukan yang tak berperikemanusaan... Hmm... hmmm.... sabar menunggu

    ReplyDelete