Wednesday 4 January 2017

The Pit : 4


Kali terakhir Alex menjejakkan kaki ke Great Library di Antrapole itu ialah 5 tahun lalu memandangkan dia bukanlah seorang yang gemar membaca. Masanya dihabiskan dengan bermain game di rumah. Dia tahu jika dia memberitahu Nick yang dia di perpustakaan sekarang, pasti lelaki itu menuduhnya buang tebiat. Lebih baik dia duduk berseorangan saja walaupun pada masa itu, Joseph sedang duduk selang dua buah meja berhadapan dengannya dengan sebuah buku dengan mata yang ligat mengawasi gerak-gerinya. Di perpustakaan itu hanya ada beberapa orang pelawat sahaja pada masa itu.

Alex mengumpul semua buku yang berkisar tentang Light Fortress termasuk jurnal bandar di atas meja dan dengan teliti menyelak helaian buku satu persatu. Cerita tentang penjara yang digelar The Pit tidak banyak dikisahkan dalam buku di situ dan jika ada pun, faktanya telah diketahui umum.

"Kat mana aku boleh cari buku yang betul-betul cerita tentang sejarah Light Fortress ni agaknya." Alex merungut sendirian. Dia mulai berputus asa dan merebahkan kepalanya ke atas meja dan memejamkan matanya. Fikirannya penat dan dia mahu merehatkan diri.

"Alex..." Telinganya terdengar suara Kara menyeru namanya. Dia membuka matanya dan sedar yang dia sedang berdiri di sebuah tempat yang diselaputi kabus.

"Kara?" Alex melaung memanggil gadis misteri itu dan tidak lama kemudian, gadis berambut hitam itu muncul di hadapannya.

"Selamat petang, Alex." Kara menegur.

Alex sekadar mengangguk. "Aku bermimpi?"

Kara mengangkat bahu. "Mungkin." Dia menjawab "Minda separa sedar kau semakin terbiasa dengan kewujudan aku. Kau tengah baca sejarah Light Fortress?"

"Semua buku yang aku baca mengisahkan fakta Light Fortress yang aku tahu. Tak banyak cerita tentang The Pit juga. Aku tak faham kenapa aku perlu cari kau di The Pit. Kau dah jumpa aku di sini, apa kata kau terus-terang apa kau nak dari aku sebenarnya. Takkanlah kau cari aku semata-mata sebab... sebab kau tertarik pada aku pula." Alex menyoal.

"Aku tak dapat bercakap di sini, Alex. Kewujudan aku tak begitu stabil dalam mimpi kau. Jika tersilap langkah, aku boleh terperangkap di sini dan takkan jumpa jalan keluar selama-lamanya. Begitu juga dengan kau." Kara menjawab.

"Maksudnya kita berdua akan terperangkap dalam mimpi ni? Aku akan tidur selama-lamanya?" Alex menelan air liurnya dengan rasa risau.

"Lagipun... mereka mungkin akan dapat tahu aku sedang berhubung dengan Light Fortress." Kara menyambung.

"Huh? Siapa yang dapat tahu?" Alex menyoal kehairanan.

"Aku tak boleh lama-lama di sini, Alex. Cuma aku nak ingatkan kau yang kau tak boleh percaya pada Light Fortress. Bandar ni hanya sebuah ilusi untuk orang-orang yang tak mengetahui." Kara berpesan dan Alex sedar yang badan gadis itu semakin menghilang dari hadapannya.

"Aku tak faham.. ilusi apa?" Alex menyoal.

"Kalau kau datang ke The Pit, kau akan tahu jawapannya." Kata Kara sebelum menghilang dan Alex mula terjaga dan sedar yang dia sedang tertidur di meja perpustakaan. Dia mengangkat kepalanya dengan rasa terkejut dan mengesat air liur di pipi. Dia bangkit dari kerusi dan mata Joseph pantas memandangnya.

"Aku nak ke tandas sekejap. Takkan tu pun kau nak ikut?" Alex berkata lalu berlalu ke tandas yang terletak jauh di belakang. Dia mengemaskan rambutnya yang kusut dan memercikkan air ke mukanya supaya lebih segar. Fikirannya masih memikirkan kata-kata Kara  "Tapi, macam mana aku nak masuk ke The Pit tu?" Dia mengeluh.

Dia keluar dari tandas hendak berjalan kembali ke tempat duduknya apabila telinganya menangkap seseorang terbatuk-batuk tidak berhenti dari arah belakangnya. Alex terpandang seorang lelaki berusia akhir 20-an yang duduk di sebuah meja sedang terbatuk-batuk sambil menekup mulutnya. Beberapa orang lain yang khusyuk menekur buku di meja berhampiran mengangkat kepala memandang lelaki itu dengan rasa tidak senang.

Baru saja dia hendak smapai ke mejanya, lelaki yang batuk tadi jatuh dari kerusi dan mula batuk dengan lebih kuat.

"Encik tak apa-apa" Seorang pelawat yang duduk berdekatannya melaung.

Tidak lama kemudian Alex seperti terdengar sesuatu yang meletup namun terlantun di atas permukaan lembut disambut dengan jeritan beberapa orang pengunjung lain yang duduk berdekatan. Mereka mula menunjuk-nunjuk ke arah lelaki yang terbaring di lantai tadi. Alex segera berjalan menghampiri lelaki itu dan dia hampir termuntah apabila terlihat lelaki itu terbaring berlumuran darah yang keluar dari mata dan hidungnya. Matanya terbuntang luas seperti menahan azab sakit yang teramat sangat sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Alex menekup mulutnya dan berundur lebih jauh ke belakang sebuah rak buku yang berdekatan..

"Kenapa dengan dia?"

"Cepat panggil paramedik."

"Dia dah mati ke?'

Joseph menghampiri lelaki itu dan matanya juga terbuntang luas melihat mayat lelaki itu di lantai. Dia mula menekan jam tangannya untuk menghubungi seseorang. "Semua orang jangan panik. Sila duduk di tempat masing-masing. Jangan bergerak ke mana-mana. Jangan hubungi sesiapa. Saya dah hubungi pihak berkuasa." Dia melaung cuba menenangkan semua orang. Dia memandang sekeliling memastikan tidak ada sesiapa pun yang meninggalkan tempat itu.

"Aku... aku nak muntah." Alex menekan perutnya dan menutup mulutnya dengan rasa loya. Dia kemudian berlari menuju ke tandas semula. Telinganya mula menangkap beberapa suara lelaki lain yang baru masuk ke situ dan dia percaya mereka ialah pihak berkuasa yang dihubungi Joseph tadi. Cepat juga mereka sampai! Fikirnya.

Alex meluahkan isi perutnya di dalam sinki dan membasuh mulutnya. Fikirannya masih terbayang keadaan mayat yang berlumuran darah tadi. Inilah pertama kali dia melihat mayat manusia dan inilah kejadian pertama seumpamanya yang berlaku di sini. Alex menarik nafas dalam-dalam sebelum melangkah untuk keluar dari tandas. Dia terpandang beberapa orang lelaki berseragam tentera sedang berdiri mengelilingi mayat lelaki itu dan berjalan perlahan-lahan di celah-celah rak buku.

"Ini kejadian kesembilan." Kata salah seorang daripada mereka lalu Alex segera menghentikan langkahnya. Dia berdiri di belakang rak buku yang terlindung dari pandangan mereka tetapi cukup dekat untuk mendengar perbualan lelaki-lelaki itu.

Kesembilan?

"Letupan dari dalam badan lagi? Organ dalaman pecah?" Tanya salah seorang daripada mereka.

Alex melihat Joseph berdiri bersama-sama mereka dan dia menganggukkan kepala. "Lelaki ni tiba-tiba terbatuk dan jatuh dari kerusi. Kemudian dia mati dan berlumuran darah macam ni."

"Siasat latar belakang si mati ni. Aku perlu lapor kepada Lord Hamington segera. Orang luar tak boleh tahu tentang kejadian ni." Arah seorang lelaki yang Alex rasakan berpangkat lebih tinggi dari lelaki-lelaki lain.

Otaknya ligat berfikir. Jika ini ialah kejadian yang kesembilan, kenapa dia tidak pernah dengar tentang kematian begini sebelum ni? Letupan organ dalam badan bukan satu kematian yang biasa. Malah, Light Fortress ialah sebuah bandar yang amat selamat dan tidak pernah ada kes-kes jenayah berlaku kerana semua penduduknya terdiri daripada golongan elit dan berstatus tinggi. Tiada kemiskinan di bandar itu maka tidak ada sebab seseorang hendak melakukan jenayah. Malah jika berlaku jenayah, orang itu akan terus dihantar ke The Pit, tempat dikatakan neraka dunia itu.

"Berapa orang saksi kejadian ni?" Lelaki yang menjadi ketua tadi menyoal Joseph.

"Cuma mereka yang duduk di bahagian ni tuan. Lebih kurang lima orang." Balas Joseph sambil memerhati ke arah kelima-lima pelawat yang dikumpul di sebuah meja tidak jauh dari mereka.

"Bagus! Padamkan ingatan mereka sekarang. Jangan biar sesiapa pun ingat kejadian ni." Lelaki itu mengarah membuatkan jantung Alex berdebar-debar.

Padamkan ingatan? Tapi kenapa?

"Ah tapi...." Joseph bersuara sambil matanya memandang ke arah laluan ke tandas. "Sebelum kejadian ni, Cik Alexandra pergi ke tandas. Sampai sekarang dia masih belum keluar."

"Anak tuan Gabenor ada di sini?" Lelaki yang menjadi ketua itu menyoal.

Joseph mengangguk. "Saya diarahkan untuk jadi bodyguard dia oleh tuan Gabenor." Dia menunjukkan tempat duduk Alex yang dipenuhi buku itu.

"Pergi cari dia di tandas sekarang." Arah ketua itu. "Yang lain, mulakan operasi memadamkan ingatan. Siasat identiti lelaki ni dan cari ahli keluarganya. Padamkan ingatan mereka juga tentang kewujudan dia."

Jantung Alex mula berdegup laju. Jika Joseph mengetahui dia tidak ada di tandas, mungkin dia akan tahu yang Alex juga berada di situ semasa kejadian. Mungkin juga ingatannya akan dipadamkan dan dia tidak akan ingat lagi apa yang berlaku hari ini. Perlahan-lahan Alex mengundur diri dan berjalan laju ke arah tandas. Dia perlu sampai di situ sebelum Joseph tiba. Nasibnya baik kerana dia tiba di pintu tandas tepat pada masanya. Dia berpura-pura seolah-olah baru keluar dari tandas itu dan memandnag tepat ke wajah Joseph yang berdiri tegak di hadapannya.

"Kenapa kau datang sini? Kau takut aku lari? Sampai ke tandas pun kau nak ikut?" Alex menyoal cuba mengawal debaran dalam suaranya.

"Lamanya cik di tandas." Joseph menegur.

"Aku sakit perut lah." Alex membalas dan cuba berjalan melintasi lelaki di hadapannya itu. Namun lengannya direntap oleh Joseph. "Kau ni kenapa?" Alex menyoal dengan gugup. Dia mua berasa takut dengan lelaki itu. "Berani kau sentuh aku macam ni? Kau nak aku lapor pada papa aku?"

Joseph melepaskan pegangannya. "Kita balik sekarang. Hari pun dah lewat."

Alex mengangguk bersyukur yang Joseph seperti tidak mengesyaki apa-apa.

Sebaik sahaja tiba di rumahnya di Mynervia, Alex terus mengunci diri di dalam bilik dan berbaring di katil. Hatinya mulai berasa takut dan kata-kata Kara di dalam mimpi tadi bermain-main di kepalanya. Kara memberitahunya supaya jangan mempercayai Light Fortress kerana ia hanyalah sebuah ilusi. Tapi ilusi apa?

Selama 17 tahun hidupnya dia tidak pernah mendengar sebarang kacau-bilau di Light Fortress. Inilah pertama kali dia menyaksikan satu kematian di hadapan matanya. Malah ini ialah kejadian yang kesembilan? Maksudnya ada lapan kali kejadian yang sama yang pernah berlaku seperti ini tapi kenapa dia langsung tak pernah terbaca atau terdengar di mana-mana? Lagipun, kenapa mereka hendak memadamkan ingaan semua saksi yang melihat kejadian ni? Bukan setakat saksi saja, kenapa ingatan ahli keluarga lelaki itu juga akan dipadamkan?

Dia melompat dari katil dan berjalan ke meja tulisnya. Di hadapannya terdapat sebuah komputer riba nipis dan skrin maya yang dipancarkan seperti hologram di udara. Dia mula melayari internet mencari berita tentang kematian misteri di Light Fortress, namun seperti kebiasaannya, tidak pernah ada berita buruk atau jenayah dilaporkan berlaku di Light Fortress. Light Forress bagaikan sebuah bandar utopia yang bebas dari kecelakaan dan aktiviti jenayah.

Bila difikirkan semula, Alex mulai berasa aneh. Tak mungkin tidak pernah berlaku apa-apa yang buruk di Light Fortress sepanjang kehidupannya. Semua penduduk di sini seolah-olah diprogramkan yang kehidupan di Light Fortress bagaikan kehidupan di syurga.

Mungkin kata-kata Kara adalah benar. Mungkin Light Fortress hanyalah sebuah ilusi yang menyimpan rahsia yang dalam daripada penduduknya. Mungkin jawapannya ada di The Pit dan Alex mula terfikir yang dia perlu mencari jalan hendak ke situ.

No comments:

Post a Comment