Saturday 21 January 2017

The Pit : 7


ANTRAPOLE GRAND UNIVERSITY, ANTRAPOLE.

Nick Orendale berhenti seketika di pintu kafetaria satu-satunya universiti di bandar itu sambil matanya meliar mencari-cari seseorang. Dia menarik nafas sedikit apabila terpandang Dianna Hamington sedang duduk bersama-sama tiga orang kawannya yang lain di salah sebuah meja sambil berbual-bual dengan gembira. Dianna Hamington ialah seorang gadis berusia 19 tahun yang boleh dikatakan cantik dengan rambut brunette yang sengaja dikerintingkan di bawah. Dengan statusnya sebagai anak perempuan salah seorang ahli majlis mesyuarat kerajaan, tidak hairan dia begitu popular di universiti itu di kalangan lelaki ataupun perempuan. Namun gadis itu bukan seorang yang mengejar populariti malah dia ialah salah seorang pelajar terpintar di universiti itu. Nick mengambil keputusan berjalan menghampiri mereka dan duduk di sebelah Dianna dengan selamba.

"Hai." Nick menegur dengan ramah dibalas dengan pandangan yang pelik dari keempat-empat gadis di meja itu.

"Err... kami kenal kau ke?" Salah seorang daripada mereka yang berambut perang menyoal.

Nick tersenyum. "Dia kenal aku." Dia menunjuk kepada Dianna yang telah mula menarik muka masam. 

"Kau nak apa Orendale? Sejak bila kau belajar di universiti ni? Aku ingatkan umur kau baru 17 tahun." Dianna menyoal dengan suara yang tidak senang.

Senyuman Nick lebih lebar mempamerkan barisan giginya yang putih. "Hari ni aku cuma nak buat lawatan sambil belajar ke sini. Lagipun tahun depan aku akan masuk ke sini. So hari ni, aku perlukan seseorang untuk jadi tour guide aku untuk melawat kampus."

Dianna mula membeliakkan matanya dengan rasa menyampah.

"Orendale? Adakah kau ni bersangkut-paut dengan Lord Orendale?" Salah seorang dari kawan Dianna bertanya. 

Nick mengangguk. "Lord Orendale tu bapa saudara aku. Tapi kamu boleh panggil aku Nick." Katanya dan dibalas dengan jeritan teruja dari kawan-kawan Dianna.

"Korang jangan menjeritlah, buat malu je. Dia ni budak hingusan lagi, baru umur 17 tahun." Dianna kelihatan marah.

"Cinta tak mengenal perbezaan umur." Nick membalas sambil mengenyitkan matanya.

Dianna mengeluh sebelum dia mula mengangkat punggung dari kerusi. "Aku nak gerak dulu." Katanya. Nick tersenyum kepada kawan-kawan Dianna sebelum bergegas mengekori Dianna yang semakin laju berjalan menuju ke pintu kafetaria. "Kau nak apa?" Dianna membentak.

"Kau pun tahu family aku nak sangat aku masuk ke sini jadi aku nak minta bantuan kau untuk jadi tutor aku juga."

"Tutor? Aku sibuk di kuliah, kau nak suruh aku jadi tutor kau? Kawan tomboy kau tu tak ikut ke sini ke?" Dianna menyoal sambil memandang sekeliling.

Nick terpaksa berfikir sejenak sebelum menyedari 'kawan tomboy' yang dimaksudkan Dianna itu ialah Alex. "Alex tak datang. Dia ada tutor dia sendiri di rumah. Kau mesti tolong aku, Dianna. Please..."

Dianna menghela nafas berat. "Okay, tapi jangan kacau aku lepas ni!"

Nick tersenyum. "Thanks a lot, Dianna. Kita mula kelas malam ni, okay. Aku pergi rumah kau."

"What? Malam ni?" Dianna menyoal.

"Apa salahnya. Bukannya kau ada boyfriend pun." Nick membalas selamba. Memang dia tahu yang Dianna tidak pernah bercinta dengan sesiapa. "Apa salahnya kau lepak dengan aku malam ni sambil ajar aku subjek yang aku tak faham."

Dianna mengetap bibir. "Yelah yelah, malam ni!"

Kali ini senyuman Nick kian melebar. "Sekarang kau free tak? Temankan aku jalan-jalan dalam kampus..."

"Jangan mengarut! Aku ada kelas sekarang. Pergi cari perempuan lain yang sanggup ponteng kelas sebab nak temankan kau!" Bentak Dianna lalu berjalan laju meninggalkan Nick di situ.

Nick ketawa kecil melihat ulah gadis yang tua dua tahun darinya itu. Nampaknya perangkapnya sudah mengena. Dia akan meluangkan masa dengan Dianna dan akan mengorek apa yang dia ketahui dari Dianna ataupun ayahnya tentang kejadian yang dikatakan Alex itu. Nick kemudian mula membuat panggilan kepada Alex yang nampaknya masih tidak berjawab.

"Kenapa kau tak jawab panggilan aku, Alex.." Nick mengeluh risau.

***
PEJABAT GABENOR, MYNERVIA

Wajah Gabenor Anthony kelihatan pucat dan dia terduduk di kerusinya. Matanya tajam menekur meja sambil kedua-dua tangannya mengusap dahinya ke bawah. Kali ini kebimbangannya kian terserlah. "Pintu ke the pit terbuka? Macam mana boleh terbuka?" Dia menyoal sambil memandnag ke arah Lord Hamington yang berdiri di hadapan mejanya dengan tajam.

"Masa anak buah aku sampai ke sana, pintu tu dah terbuka dan tak ada sesiapa pun berada di situ. Aku dah tutup semula pintu tu dan arahkan anak buah aku buat siasatan penuh." Lord Hamington menjawab.

"Siapa lagi ada akses pintu tu selain kita berlima?" Suara Gabenor Anthony semakin kuat.

Lord Hamington menggeleng. "Cuma kita saja tapi masa tu kita semua ada di Great Hall."

"Dah jumpa Alex?" Gabenor Anthony menyoal lagi.

"Aku dah arah semua anak buah aku untuk cari dia di Mynervia. Kalau dia cuba naik Pole ke Antrapole atau ke Nova, pasti kita dah tahu. Dia pasti masih ada di sini." Lord Hamington membalas lagi. Namun seketika kemudian dahinya berkerut seperti memikirkan sesuatu. "Tapi yang aku pelik, kenapa dia tiba-tiba menghilangkan diri? Timing sangat tepat seolah-olah dia tahu yang kita akan padamkan ingatannya. Pada masa yang sama pintu ke the pit yang dah lama dikunci tiba-tiba terbuka pula. Mungkinkah Alexandra yang..."

"Alexandra tak ada akses ke kawasan tu, Hamington!" Gabenor Anthony memotong kata-katanya dengan tajam.

"Mungkin pintu tu dah rosak agaknya." Lord Orendale yang hanya duduk memerhatikan mereka dengan senyap dari tadi mencelah.

Lord Hamington berpusing dan menjelingnya dengan tajam. "Kalau pintu tu rosak, bukankah ianya patut jadi tanggungjawab kau sebagai seorang jurutera?"

Lord Orendale ketawa perlahan. "Okay, aku akan pergi tengok apa yang patut." Dia kemudian memandang ke arah Gabenor Anthony. "Jangan risau, Anthony. Alexandra sepatutnya tak pergi jauh. Mungkin dia akan balik ke rumah kejap lagi."

"Kalau dia masih belum balik petang ni, aku terpaksa menjejak lokasi jam tangan dia, Anthony." Lord Hamington berkata.

Lord Orendale berjalan keluar dari pejabat gabenor itu dengan senyap. Otaknya ligat berfikir tentang satu perkara yang tak mungkin dilakukan oleh sesiapa saja. Dia berjalan ke kawasan larangan yang sengaja digelapkan dan mengimbas jam tangannya di alat pengimbas yang sedikit tersembunyi yang terletak di tepi dinding dan secara automatik selepas itu semua lampu terpasang dan kawasan itu menjadi terang-benderang. Dia kemudian berjalan perlahan-lahan di sepanjang lorong itu sejauh hampir 50 meter dan sampai tepat di hadapan pintu the pit yang ditutup dan dikunci semula.

Dia kemudian mengimbas jam tangannya di pengimbas di hadapan pintu dan serentak dengan itu pintu itu mengeluarkan bunyi beep dan terbuka. Namun tidak ada alat penggera berbunyi seperti tadi membuatkan Lord Orendale berfikir yang seseorang dari Light Fortress memiliki jam tangan yang mempunyai gelombang yang sama dengan salah seorang dari mereka berlima.

Semasa dia mula mencipta jam tangan itu, dia juga berpendapat bahawa setiap penduduk di Light Fortress perlu didaftarkan dan mempunyai ID unik dalam bentuk gelombang. Ini bermaksud setiap penduduk di situ akan mempunyai gelombangnya sendiri seperti kod bar yang unik dan setiap gelombang itu akan didaftarkan bagi membolehkan individu itu mempunyai akses yang tertentu. Sebagai contohnya rakyat biasa di Light Fortress hanya boleh mengakses kawasan-kawasan tertentu saja di Light Fortress dan pegawai-pegawai kerajaan pula mempunyai akses yang lebih banyak. Tetapi kelima-lima ahli majlis mesyuarat kerajaan mempunyai akses yang tidak terhad dan boleh masuk ke mana-mana kawasan dalam Light Fortress. Jam tangan khas itu juga akan merekod segala aktiviti harian, kesihatan, status ekonomi malah merekodkan DNA individu tersebut. Sebab itulah merahsiakan kelahiran bayi di Light Fortress dan tidak mendaftarkannya adalah merupakan satu kesalahan jenayah yang serius di bandar ini. Melalui jam tangan itu juga mereka dapat menjejak semua pelaku jenayah di bandar itu dengan cepat.

Lord Orendale juga berpendapat yang seseorang yang menceroboh ke kawasan larangan ini tidak tahu tentang pengimbas yang tersembunyi di hadapan lorong gelap sebelum masuk ke kawasan larangan. Sebagai langkah keselamatan, sebelum sesiapa dapat masuk ke kawasan larangan, salah satu dari gelombang jam tangan yang dimiliki mereka berlima perlu diimbas di pengimbas yang tersembunyi tersebut dan boleh dianggap sebagai 'kunci pertama' manakala pengimbas di hadapan pintu the pit itu pula bertindak sebagai 'kunci kedua'. Jika hanya kunci kedua saja yang dibuka, maka alat penggera akan terus dibunyikan menandakan ada penceroboh yang tidak sepatutnya di kawasan larangan itu.

Lord Orendale menolak pintu the pit perlahan-lahan dan mula memandang terus di sebalik pintu itu. Apa yang dilihatnya hanyalah kegelapan dan tidak ada tanah atau lantai di sebalik pintu itu. Jika sesiapa melangkah dari pintu, orang itu akan jatuh terus beberapa kaki ke dalam sebuah lubang yang juga merupakan pintu masuk sebenar ke the pit. Orang-orang yang dimasukkan ke dalam the pit, hanya hidup dalam gelap seolah-olah di bawah kerak bumi tidak bermandikan cahaya matahari kerana bumbung the pit amat tinggi ke atas dan ditutup dengan lapisan yang tidak membenarkan cahaya matahari menembusinya. Amat mustahil orang-orang dari the pit dapat keluar dari kawasan itu dan menceroboh masuk ke Mynervia.

Pintu besar itu ditutup dan dikunci semula lalu dia mendongak memandang kamera litar tertutup di bucu siling yang perlu diperiksa. Dia kemudian menghubungi seseorang dari Jabatan Kejuruteraan dan Sistem untuk memeriksa alat pengimbas di depan pintu bagi mengenalpasti adakah alat itu rosak atau memang terdapat seseorang telah membuka pintu itu.

Lord Orendale kemudian berjalan kembali ke hujung kawasan larangan dan mengimbas sekali lagi jam tangannya kali ini untuk menutup kunci pertama dan memadamkan semua lampu di kawasan larangan. Dia berjalan perlahan-lahan ke arah lorong kawasan akses terhad sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Matanya yang tajam itu terpandang sebutir alat yang kecil yang asing yang terlekat di tepi dinding. Dia menarik keluar alat itu dan menelitinya. Matanya membulat besar melihat alat kecil yang diketahuinya sebagai pepijat berkamera itu lalu dia segera kembali ke pejabat Gabenor untuk membuat laporan.

No comments:

Post a Comment